Saturday, 15 June 2013

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Enggan tanggung risiko

Posted: 13 Jun 2013 10:54 AM PDT

Shah Alam: Kira-kira 20 keluarga yang menetap di Pangsapuri Indahria, Batu Tiga, di sini, nekad untuk berpindah kerana bimbang tragedi 'Highland Towers' berulang selepas buntu memikirkan masalah mendapan di pangsapuri itu masih gagal diselesaikan sejak 2009 sehingga kini.

Pangsapuri 15 tingkat yang didiami kira-kira 1,000 penduduk itu kini semakin kritikal kerana struktur bangunan yang condong akibat rekahan tanah teruk yang berpunca daripada laluan air bawah tanah.


Keluhan penduduk mengenai masalah berkenaan seperti yang dilaporkan Harian Metro, 31 Januari lalu masih tidak mendapat perhatian yang sewajarnya daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mahupun kerajaan negeri.

Penduduk memohon pihak bertanggungjawab agar menyegerakan proses pembaikan rekahan itu.


Tinjauan Harian Metro mendapati, keadaan bangunan berkenaan bagaikan tergantung selepas setiap tiang terdedah dan takungan air jelas membuktikan struktur bangunan berkenaan berada dalam keadaan bahaya dan tidak kukuh.


Penduduk, Mohd Johar Mohd Mokhtar, 36, berkata, dia dan isteri berbincang untuk berpindah atas faktor keselamatan.

Foto

JALAN ke Pangsapuri Indahria retak.

Foto

TIANG cerucuk Pangsapuri Indahria yang tergantung akibat hakisan tanah.

"Keadaan mendapan di kawasan ini semakin teruk dan saya khuatir tragedi seperti yang berlaku pada Highland Towers menimpa keluarga saya. Sebelum ia berlaku lebih baik saya mengambil jalan yang lebih baik iaitu berpindah ke kediaman yang lebih selamat," katanya kepada Harian Metro, semalam.


"Malah beberapa siri aduan yang kami kemukakan kepada pihak bertanggungjawab hanya tinggal janji kosong. Kata mahu selesai segera tetapi sehingga kini masih tiada aktiviti pemulihan atau pembinaan berlangsung di kawasan ini," katanya kepada Harian Metro, semalam.

Seorang lagi penduduk, Aimanudin Kamaruddin, 38, berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu 3, Rodziah Ismail memberikan kata putus yang berbeza dengan pemaju sehingga penduduk menjadi keliru.


"Beliau (Rodziah) berkata semuanya sedang berada di peringkat akhir masalah ini akan selesai dalam masa terdekat. Tetapi apabila kita bertanya kepada pemaju mereka berkata kertas kerja akan dibentangkan dulu sebelum dilaksanakan.


"Sebagai penduduk, mana satu yang harus kami terima. Bagaimana masalah ini akan selesai sedangkan pemaju dan wakil rakyat yang mewakili kami mempunyai jawapan yang berbeza atau mahu tunggu runtuh baru jumpa jalan penyelesaian," katanya.


Katanya, sebagai persediaan pihaknya bersama Badan Pengurusan Bersama (JMB) menubuhkan Majlis Tindakan Bencana Indahria bertujuan menjaga keselamatan penduduk sekiranya sebarang kejadian bencana berlaku.


Sementara itu, Timbalan Pengarah Korporat MBSA Shahrin Ahmad ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah melantik Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) bagi melaksanakan kerja pemantauan dan pengawasan tanah dan struktur bangunan di kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/14

Takut sampai tidur di khemah

Posted: 13 Jun 2013 10:50 AM PDT

Putrajaya: "Disebabkan takut kejadian tidak diingini berlaku, saya sekeluarga terpaksa tidur di khemah yang dipasang bersebelahan flat malam tadi (kelmarin)," kata T Mulumathy, seorang daripada 60 wakil penduduk Flat Taman Permata, Dengkil dekat sini, yang terpaksa berpindah berikutan keadaan bangunan empat tingkat terbabit tidak selamat selepas berlaku keretakan sejak Rabu lalu.

Mulumathy, 33, yang sudah tinggal di situ sejak 14 tahun lalu berkata, dia memang takut memikirkan keretakan itu dan tidak berani kembali ke rumahnya.


"Flat berkenaan betul-betul sudah tidak selamat untuk didiami. Selain masalah keretakan serius, lantai flat juga sudah senget.

"Saya sangat berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera kerana nyawa penduduk bukan mainan," katanya.


Kira-kira 60 penduduk mewakili 327 penduduk di flat berkenaan berhimpun di depan Pejabat Perdana Menteri semalam untuk menghantar memorandum menuntut pembinaan rumah teres kepada mereka dibuat segera.


Pegawai Pembantu Khas Perdana Menteri R Thanaselan menerima memorandum itu. Harian Metro semalam melaporkan penduduk di Flat Taman Permata terpaksa berpindah sementara waktu selepas bangunan terbabit mengalami keretakan serius disebabkan berlaku mendapan tanah.

Disebabkan keadaan bangunan tidak selamat, Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) mengarahkan semua penduduk berpindah bagi membolehkan kerja pemantauan dapat dijalankan.


Setiausaha Jawatankuasa Penduduk Flat Taman Permata N Kumaran berkata, masalah keretakan dinding dan mendapan tanah itu sudah berlaku sejak 2001 dan mereka tidak sanggup menunggu lebih lama.

"Bukan itu saja malah terdapat saluran gas sangat hampir dengan bangunan blok penduduk dan pernah berlaku kebocoran yang boleh mengancam nyawa.


"Kami sanggup keluar dan tinggal di tempat lain buat sementara waktu asalkan pembinaan rumah teres untuk penduduk dapat dijalankan," katanya.


Penduduk S Kuppusamy, 74, berkata sejak semalam, dia bersama isteri dan dua anaknya terpaksa tinggal di dalam khemah dan hanya membawa barangan penting saja kerana takut selepas melihat jubin dinding rumah jiran jatuh bertaburan.


"Retakan bertambah teruk dari sehari ke sehari, tiada siapa berani tinggal di situ. Dulu kami dijanjikan rumah teres, tapi sehingga sekarang tidak ditunaikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/14

Kediaman disahkan selamat

Posted: 13 Jun 2013 10:50 AM PDT

Putrajaya: Kementerian Kerja Raya mengesahkan Flat Taman Permata, Dengkil dekat sini, selamat untuk diduduki berdasarkan keputusan siasatan pasukan forensik Jabatan Kerja Raya (JKR) kelmarin.

Menterinya Datuk Fadillah Yusof berkata, berdasarkan siasatan pasukan forensik, keretakan yang ditemui pada flat empat tingkat itu tidak membabitkan tiang sokongan bangunan.


"Berdasarkan pemeriksaan terperinci pada alang konkrit bangunan itu mendapati tidak terdapat sebarang keretakan yang boleh dikategorikan sebagai kerosakan yang berlaku akibat kelemahan struktur binaan," katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, pasukan itu turut menemui keretakan disebabkan besi pengukuh yang sudah berkarat di beberapa struktur bangunan.


"Bagaimanapun berdasarkan pemeriksaan dan penelitian, pasukan forensik mendapati bangunan itu selamat didiami. Kerosakan yang ditemui tidak memberi kesan kepada kestabilan dan keselamatan bangunan," katanya.


Menurutnya, usaha baik pulih akan dilaksanakan secepat mungkin bagi mengelak kerosakan struktur bangunan merebak lebih banyak.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/14

'Bapa ekspres' cabut lari

Posted: 13 Jun 2013 10:47 AM PDT

Segamat: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dari Jalan Labis di sini, dikenali sebagai Nani risau mengenangkan nasib diri selepas teman lelakinya menghilangkan diri selepas dia melahirkan anak lelaki hasil hubungan mereka sejak dua bulan lalu.

"Saya berusaha menghubunginya, tetapi gagal sedangkan sebelum ini dia berjanji akan bertanggungjawab menjaga saya selepas melahirkan anak," katanya, semalam.


Mengimbau kembali, ia bermula pada Disember 2011 apabila teman lelakinya dikenali sebagai Hamdan, 35, yang bekerja sendiri datang ke rumahnya dan mengajaknya keluar.

Menurutnya, Hamdan membawanya bersiar-siar sebelum dia dibawa ke sebuah kebun getah sebelum mendakwa dipaksa melakukan hubungan seks.


"Saya terpaksa melayan kehendak Hamdan hingga disahkan hamil lima bulan pada Disember 2012," katanya yang turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat pada 10 Jun lalu Katanya, dia menumpang di rumah pasangan itu hingga melahirkan anak sebelum menyerahkan anak berkenaan untuk dipelihara keluarga terbabit.


Nani berkata, sepanjang menumpang di rumah berkenaan, teman lelakinya tidak pernah datang menjenguk, malah telefon bimbitnya sukar dihubungi.

"Pada 24 Mei lalu, saya kembali ke rumah keluarga dan berusaha mengesan Hamdan tetapi gagal. Bimbang dan kesal apabila teman lelaki enggan bertanggungjawab, saya melaporkan kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat pada 10 Jun lalu," katanya.


Menurutnya, keluarganya tidak tahu dia melahirkan anak tidak sah taraf dan hanya memaklumkan keluar bekerja di Klang sepanjang tempoh berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Mohd Kamil Sukarmi mengesahkan menerima laporan berkaitan kes berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/14

'Arwah cucu baik'

Posted: 13 Jun 2013 10:45 AM PDT

Kota Kinabalu: "Sepatutnya dia (arwah) kembali semula ke Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melayu Melaka, Sabtu ini (esok) untuk menyambung pengajiannya, tetapi semuanya sudah berakhir apabila arwah meninggalkan kami selama-lamanya.

"Kejadian ini sangat menyedihkan buat kami sekeluarga kerana arwah adalah cucu yang baik dan pintar," kata Ali Lakim, 53, datuk kepada Samsidar Samaruddin, 21, yang maut apabila digilis treler di Kilometer 21, Jalan Kota Kinabalu-Papar, kelmarin.


Menurut Ali, arwah tiba di rumahnya di Kampung Andus, di sini, pada 2 Jun lalu dari IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka, sempena cuti semester.

"Saya difahamkan, dia (arwah) akan pulang semula ke kampus di Melaka pada Sabtu ini," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


"Tapi semua hanya tinggal kenangan apabila dia terbunuh dalam kemalangan ngeri itu," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Menurutnya, dia tidak sangka pertemuan pada pagi sebelum kejadian adalah yang terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/14

No comments: