Friday, 28 June 2013

Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Aidil terlepas aksi sejarah

Posted: 26 Jun 2013 11:00 AM PDT

Johor Bahru: "Saya tak mahu komen...dia (Persatuan Bola Sepak Malaysia) yang berhak."

Demikian komen ringkas ketua jurulatih Johor Darul Takzim (DT) Fandi Ahmad berhubung keputusan FAM yang mengekalkan hukuman penggantungan dua perlawanan ke atas Aidil Zafuan Abdul Radzak selepas dilayangkan kad merah secara terus ketika bertemu Lion XII, Sabtu lalu.


Rayuan menerusi Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) itu dilakukan bagi membolehkan Mohd Aidil diringankan hukumannya sekali gus dibenarkan beraksi pada final Piala FA menentang Kelantan, Sabtu ini.

Fandi dilihat tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa ketika diminta memberikan komen mengenai isu itu kerana beliau mungkin tidak mahu terus memanjangkan isu terbabit.


Keputusan menolak rayuan Aidil itu diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib kelmarin yang dipengerusikan Datuk Taufek Abdul Razak.


Selepas menerima khabar itu, kekecewaan Fandi bertambah selepas skuad bimbingannya sekadar seri 1-1 dengan FELDA United kelmarin dalam perebutan untuk mengungguli saingan Liga Super.

Foto

AIDIL digantung dua perlawanan.

Pengendali dari Singapura itu jelas kecewa dengan barisan pemain yang diberi peluang beraksi selepas beliau kehilangan beberapa tonggak utama kerana layangan kad kuning dan faktor kecederaan.


"Mereka tiada jiwa, semangat dan keinginan tinggi untuk bermain, inilah yang paling menyedihkan saya," katanya.

Fandi memberi contoh bagaimana Norshahrul Idlan Talaha serta Nurul Azwan Roya mempamerkan karakter seorang pejuang apabila tidak henti-henti melakukan asakan meskipun sering menjadi mangsa terjahan keras pihak lawan.


"Karakter seperti ini yang kita mahukan, bukan sekadar masuk padang dan bermain saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/26

Misi besar UiTM Melaka

Posted: 26 Jun 2013 08:43 AM PDT

Melaka: Selepas muncul juara Kejohanan Bola Sepak Institut Pengajian Tinggi (IPT) Zon Selatan di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Durian Tunggal baru-baru ini, pasukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka bertekad layak ke Divisyen Tiga IPT musim depan.

Namun pasukan itu perlu melepasi halangan pasukan terbaik peringkat akhir kelayakan kebangsaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Julai ini sebelum beraksi di Divisyen Tiga.


Jurulatih UiTM Melaka Mohd Suffian Zulkhaini berkata, halangan tetap getir dari setiap juara dan naib juara zon termasuk UiTM Puncak Alam, Politeknik Perak, UNIKL Mitec dan Kolej Komuniti Perlis.

Bagaimanapun pemain bertekad memberi persembahan terbaik untuk mencatat sejarah baru kampus terbabit.


Beliau berkata, latihan agresif ketika ini diharap mampu menjulang kejayaan pasukan selepas cemerlang menewaskan UniKL MITEC, 3-2 di final, baru-baru ini.


Menurutnya, perhatian tinggi diberi kepada semua pasukan yang bakal menjadi halangan termasuk Universiti Utara Malaysia (UUM), UPSI, Politeknik Terengganu dan kolej Komuniti Perlis.

"Apapun saya yakin pemain mampu mempamerkan aksi terbaik dan mengharapkan tuah memihak kepada pasukan. Sokongan pengurusan universiti dan warga kampus turut memberi impak besar terhadap perjuangan pasukan di peringkat akhir ini," katanya.


Sementara itu pembantu jurulatih Hasnol Hadi Hashim turut meletakkan harapan tinggi kejayaan pasukan tambahan semangat pemain amat positif untuk mara ke final sambil mengingatkan pasukan supaya tidak terlalu yakin dan fokus untuk memenangi perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/26

ATM ungguli hoki MAKSAK

Posted: 26 Jun 2013 08:43 AM PDT

Ipoh: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menepati ramalan pasukan pilihan selepas muncul juara pertama Kejohanan Hoki Dewan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan (MAKSAK) Malaysia 2013 di Ipoh, dengan membenam PDRM, 5-1, baru-baru ini.

ATM menepati ramalan selaku pasukan pilihan apabila membenam PDRM, 5-1 .


Begitupun PDRM yang diperkuat bekas pemain kebangsaan, Megat Azrafiq Termizi berjaya memberi tentangan yang menyaksikan ATM sekadar mendahului 2-1 pada babak pertama.

Namun PDRM tidak mampu menyekat kemaraan ATM yang meledak tiga gol pada babak kedua bagi menjulang trofi.


Pada final di Stadium Indera Mulia, Ipoh itu, Mohd Syafiq Yaacob membuka jaringan buat ATM seawal minit ketiga namun kelebihan itu dipadam Megat Azrafiq lima minit kemudian untuk mengikat kedudukan.


Usaha Polis menambah jaringan tidak berjaya sebaliknya Mohd Firdaus Ismail meletakkan ATM di hadapan pada m-11.

Jangkaan berlaku persaingan sengit pada separuh masa kedua tidak menjadi kenyataan sebaliknya Pada separuh masa kedua, ATM terus menunjukkan kehebatan untuk menamatkan cabaran lawan melalui jaringan Pemain Terbaik Perlawanan Akhir, Mohd Hanip Che Halim, Syafiq dan Tuan Walid Tuan Abd Aziz pada m-16, 22 dan 29.


ATM mara ke final selepas membelasah Selangor, 7-1 manakala PDRM mengatasi tuan rumah, Perak 3-2 di separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/26

Atlet NS jagoan memanah

Posted: 26 Jun 2013 08:40 AM PDT

Seremban: Atlet memanah pelapis Negeri Sembilan jelas mantap apabila mendominasi Kejohanan Memanah Zon Selatan 2013 selepas meraih lapan pingat emas pada kejohanan di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pagi (SMSP) Senawang, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Pingat emas itu dimenangi menerusi acara jarak 30, 40, 50 dan 50 meter lelaki dan wanita dan Negeri Sembilan meraih kejuaraan berganda apabila Mohd Syamim Yazid dan Fatin Syazlin Mohd Shams muncul juara keseluruhan individu lelaki dan wanita selepas mengumpul 1,228 dan 1,053 mata.


Melaka menduduki tempat kedua dengan satu perak dan satu gangsa menerusi M Komaleswary bagi acara 30 dan 50m manakala Johor ketiga dengan dua gangsa.

Mohd Syamim dan Fatin Syazlin, 19, tidak menyangka mendominasi kejohanan itu berikutan reputasi Melaka dan Johor melahirkan ramai pemanah berprestasi tinggi.


"Sekalipun semua atlet bertanding baru, cabaran sengit, namun saya puas hati kerana mampu melakukan sasaran tepat. "Ini hasil kerja keras dan latihan intensif seperti program disusun Unit Sukan Prestasi Tinggi (USPT) Negeri Sembilan di bawah Majlis Sukan Negeri Sembilan (MSNS).


"Ini satu permulaan baik dan saya perlu bekerja lebih keras kerana cabaran lebih besar menanti di peringkat kebangsaan," kata Mohd Syamim.

Pegawai USPT Negeri Sembilan, Ahmad Afandy Baharin berkata, kejohanan itu medan menguji prestasi dan menilai kemajuan atlet sebagai persediaan menghadapi kejohanan lebih besar.


Hadiah kemenangan disempurnakan Ketua Unit Sukan Pelapis Negeri Sembilan Rashid Ramli.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/26

Pozdnyakov takluk Rembau

Posted: 26 Jun 2013 08:40 AM PDT

Rembau: Pelumba Synergy Baku Cycling Project, Kiril Pozdnyakov meraih penghormatan pertama apabila memenangi Peringkat 1 Jelajah 1Malaysia dari Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil ke Rembau.

Bagaimanapun pelumba kebangsaan, Adiq Husainie Othman paling mencuri tumpuan apabila memenangi empat daripada lima jersi dipertandingkan, semalam.


Pozdnyakov yang membuat pemecahan daripada lapan pelumba kumpulan pemecah, menamatkan kayuhan sejauh 187.7 kilometer itu dengan masa 4 jam 13 minit 40 saat, kira-kira 12 saat di depan Adiq yang menduduki tempat kedua manakala pelumba Matrix Powertag dari Jepun, Kazushige Kuboki, ketiga.

Ketiga-tiga pelumba itu sebahagian daripada kumpulan 31 pelumba yang membuat pemecahan dan tiba jauh di depan kumpulan besar peloton selepas Pozdnyakov melintasi garisan penamat.


Adiq yang hanya disenaraikan dalam skuad kebangsaan kira-kira 24 jam sebelum perlumbaan bermula selepas mendapat pelepasan majikannya, Tentera Laut DiRaja Malaysia, memenangi jersi biru Pelumba Terbaik Asia, jersi merah Raja Bukit, jersi hijau Raja Pecut dan jersi putih Pelumba Terbaik Tempatan.


Pelumba yang dilepaskan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Jamil Salleh pada 11 pagi, menyaksikan tindakan agresif pelumba yang membuat pemecahan awal dan mencecah jarak 50km dalam tempoh sejam.

Namun sekumpulan 23 pelumba, termasuk Pozdnyakov dan Adiq berkayuh laju, dengan zon pendakian pertama di Labu dikuasai Zamri Salleh (Terengganu Cycling Team) tapi Adiq menguasai zon pendakian kedua di Pedas, untuk bersama Zamri mengutip empat mata dalam persaingan jersi Raja Bukit.


Kumpulan 23 pelumba di depan itu kemudian disertai lapan pelumba dan bergabung membentuk kumpulan pemecahan besar dan berkayuh laju hingga menjarakkan diri kira-kira 13 minit di depan peloton.

Namun, Pozdnyakov yang mendapat kerjasama baik daripada dua rakan sepasukan bijak memilih detik tepat untuk keluar secara solo daripada sekumpulan lapan pelumba di depan, sebelum tiba sendirian di garisan penamat.


Begitupun, Adiq turut cemerlang apabila menduduki tempat kedua di belakang Harrif Salleh (Terengganu Cycling Team) dalam dua zon pecutan di Lukut dan Teluk Kemang tapi kedudukan tempat kedua peringkat itu, memberikan tambahan 14 mata, untuk mengumpul keseluruhan 20 mata bagi perebutan jersi Raja Pecut.


Pozdnyakov berkata, memang strategi pasukan itu untuk memenangi peringkat pertama dan dia membuat percaturan tepat apabila melakukan serangan tanpa diekori sesiapa pada baki 2km terakhir.


"Strategi serangan terakhir itu menjadi dan dari awal, memang hasrat pasukan memenangi peringkat pertama. Saya akan cuba menang peringkat selepas ini kerana pasukan kami agak mantap dalam perlumbaan ini.


"Lagipun, kebanyakan peringkat agak landai dan esok kami akan terus cuba mengutip kemenangan peringkat dan saya juga akan cuba mempertahankan jersi kuning ini," kata pelumba Russia berusia 24 tahun yang mengumpul tiga peringkat kemenangan, tahun ini.


Begitupun, kebijaksanaan Adiq menguasai kayuhan ketika berada dalam kumpulan pemecahan itu tidak dapat dinafikan apabila bersaing dalam kedua-dua zon pecutan dan zon pendakian di Pedas.


Kesilapannya ialah tidak cuba mengekori Pozdnyakov ketika pelumba Synergy Baku itu melakukan serangan terakhir.


"Ketika itu, saya mengharapkan pelumba tempatan lain iaitu Ahmad Fauzan Lutfi (PDRM) dan Loh Sea Keong (OCBC Singapore) mengekori pelumba Synergy Baku itu tapi malangnya mereka tidak bertindak.


"Tetapi saya yakin mampu bersaing merebut jersi kuning pula selepas ini kerana prestasi saya kini amat baik selepas baru menyertai Tour de Korea dan kejohanan kebangsaan baru-baru ini," kata pelumba pasukan pro benua, Champion System itu.


Menurutnya, persaingan baru bermula dan dengan laluan yang boleh dikatakan agak landai, dia yakin mampu mencabar jersi kuning kerana berkemampuan dalam pendakian dan pecutan.


"Saya juga akan cuba mendapatkan bantuan daripada rakan pelumba tempatan lain termasuk pasukan Angkatan Tentera pada baki peringkat selepas ini supaya dapat menamatkan penantian pelumba kebangsaan memenangi Jelajah 1Malaysia selepas sekian lama." Hadiah kepada pemenang disampaikan Exco Belia dan Sukan Negeri Sembilan Datuk Zaiful Bahari Idris. Peringkat 2 Jelajah 1 Malaysia dari Rembau ke Batu Pahat hari ini membabitkan jarak perlumbaan sejauh 197.6km dengan satu zon pendakian di Gemencheh dan tiga zon pecutan di Gemas, Segamat dan Cha'ah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/26

Fatehah gembira aksi makin meningkat

Posted: 26 Jun 2013 08:34 AM PDT

Kuala Lumpur: Biarpun gagal menempatkan diri di kedudukan podium, pelumba basikal wanita negara, Fatehah Mustapa tetap gembira dengan prestasinya yang semakin meningkat dan aksinya di Jerman jauh lebih baik berbanding Kejohanan Trek Asia Tenggara dan Kejohanan Berbasikal Kebangsaan, minggu lalu.

Fatehah yang sekadar menduduki tempat kelima acara keirin dan pecut di Kejohanan Cottbus Sprint Cup berkata, ia sudah cukup untuk mengumpul mata bagi melayakkan diri beraksi di Kejohanan Dunia dan Siri Piala Dunia Klasik.


Katanya, prestasinya memuaskan dan dia sendiri dapat melihat tiada perbezaan ketara antara nama-nama hebat seperti Guo Shuang dan Ekaterina Gnidenko.

"Prestasi saya kini cukup baik. Tidak jauh dengan pelumba lain dan saya dapat menewaskan pelumba Russia dalam acara pecut. Memang bagus dapat beraksi di sini kerana membabitkan ramai pelumba handalan termasuk China, Jerman dan Russia.


"Saya amat puas hati dengan prestasi semasa. Namun banyak lagi perlu diperbaiki dan perlu berusaha meningkatkan persembahan," katanya.


Fatehah menyapu bersih pingat emas dalam acara disertai di dua kejohanan yang berlangsung di Kuala Lumpur terutama keirin dan pecut selain membawa pulang emas dalam pecut berpasukan dan 500m ujian masa. Mengulas strateginya menjelang Grand Prix Jerman bermula esok, Fatehah berkata, dia perlu mempertingkatkan daya kayuhan.

"Saya cuba mendapatkan keputusan baik kerana mempunyai sasaran sendiri iaitu mendapatkan pingat di Siri Piala Dunia Klasik dan untuk itu saya perlu mengumpul mata dari sekarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/26

Motivasi ATM tak menurun

Posted: 26 Jun 2013 08:33 AM PDT

Seremban: Sekalipun kedudukan pasukan sedikit terjejas apabila terpaksa turun satu anak tangga di tempat keempat selepas sekadar seri dengan Terengganu, jurulatih ATM B Sathianathan, tetap yakin skuad bimbingannya mampu berada dalam kedudukan tiga terbaik carta Liga Super musim ini.

Pada aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi malam kelmarin, ATM gagal mencapai kemenangan apabila seri 1-1 sekali gus dipintas Selangor yang menewaskan PKNS FC, 2-1.


Beliau mengaku anak buahnya mensia-siakan banyak peluang jaringan terutama melalui Nizaruddin Yusof, Bruno Martelotto, Mohd Fitri Omar dan K Reuben, walaupun semua pemain yang diturunkan memberi persembahan memuaskan.

Katanya, ketiadaan ayam tambatan Marlon Alex James dan dua tonggak utama, Mohd Shukor Adan serta Hairuddin Omar memberi sedikit kesan kepada jentera pasukan tapi ia tidak menyeluruh kerana pemain yang diturunkan berjaya mendominasi sebahagian besar perlawanan.


"Apapun saya yakin peluang masih ada untuk kita kembali melonjak walaupun impian menjulang kejuaraan liga sudah berkubur. Namun yang pasti kedudukan tiga terbaik carta boleh dilakukan.


"Saya juga percaya kita boleh mencapai kemenangan dalam dua baki perlawanan menentang Pahang di Kuantan dan Perak di Paroi untuk merealisasikan sasaran itu," katanya selepas perlawanan kelmarin.

Bekas pengendali kebangsaan itu berharap anak buahnya tidak putus asa atas kegagalan kelmarin dan pemain perlu memberikan fokus kepada dua baki saingan bagi meletakkan pasukan dalam kelompok terbaik.


Dalam aksi kelmarin, Christie Jayaseelan membuka tirai jaringan buat ATM pada minit ke-65 dan kemudian disamakan pemain gantian Terengganu, Farderin Kadir m-79.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/26

Dollah kecewa aksi anak buah longlai

Posted: 26 Jun 2013 08:33 AM PDT

Kuantan: Jurulatih Pahang Dollah Salleh kecewa selepas tewas 0-2 kepada Kelantan yang menyaksikan skuad itu kini menghuni tangga keenam saingan Liga Super.

Dengan baki dua perlawanan, skuad Tok Gajah perlu bangkit jika mahu memperbaiki kedudukan saingan liga ketika sasaran berada dalam kelompok tiga pasukan terbaik musim ini sudah berakhir.


Bagi Dollah, kekalahan itu cukup mengecewakannya ketika harapan meraih mata gagal dalam dua perlawanan berturut-turut.

"Pemain gagal bermain dengan baik dan serba tidak menjadi hingga membenarkan Kelantan mencatat kemenangan.


"Mereka gagal mengekang asakan Kelantan hingga membolehkan lawan menjaringkan dua gol. Jika dinilai corak permainan, segalanya tidak menjadi bukan saja di barisan serangan malah jentera tengah dan pertahanan juga gagal bertindak garang," katanya.


Sabtu lalu, Pahang tewas 1-2 kepada Perak.

Pahang akan melayan kunjungan ATM di Stadium Darul Makmur 2 Julai ini dan menamatkan liga apabila bertandang ke Stadium Shah Alam bertemu PKNS Selangor pada 6 Julai ini.


Justeru, Dollah perlu berbuat sesuatu jika mahu berada dalam kelompok lima pasukan teratas terutama menajamkan lagi jentera serangan.

Ketumpulan serangan antara faktor utama Pahang gagal bersaing hingga membenarkan lawan meraih mata.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/26

Revington tak bimbang dua kekalahan

Posted: 26 Jun 2013 08:32 AM PDT

Johor Bahru: Dua kekalahan pada aksi persahabatan langsung tidak mencetuskan rasa bimbang ketua jurulatih Paul Revington menjelang perlawanan pembuka tirai separuh akhir Liga Hoki Dunia bertemu Pakistan, Sabtu ini.

Semalam anak buahnya tewas 1-2 kepada Jerman, mengulangi kekalahan 2-5 pada perlawanan persahabatan pertama bertemu Argentina kelmarin.


Situasi itu pastinya mencetuskan persoalan adakah skuad negara sudah bersedia beraksi pada saingan paling utama tahun ini, namun Revington tetap tenang.

"Walaupun kalah, banyak perkara positif kami belajar daripada dua kekalahan ini.


"Saya tidak terlalu bimbang mengenai dua kekalahan ini kerana kita banyak menguji beberapa strategi baru dan memberi peluang kepada setiap pemain untuk beraksi," katanya.


Pada perlawanan semalam yang berlangsung di Stadium Hoki Taman Daya, skuad negara di depan menerusi Muhammad Razie Abd Rahim hasil jaringan padang.

Jerman bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan dan menambah gol kedua pada babak kedua.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/26

Final FA pertama

Posted: 26 Jun 2013 08:29 AM PDT

Kota Bharu: Pengalaman pertama perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu bakal menjadi sandaran buat pemain pertahanan Kelantan, Nik Shahrul Azim Abdul Halim untuk beraksi cemerlang ketika berdepan Johor Darul Takzim (DT) di final Piala FA Sabtu ini.

Pemain muda berusia 22 tahun yang diserap dari skuad Piala Presiden itu kini menjadi tonggak penting barisan pertahanan The Red Warriors (TRW) setiap kali mengekang asakan lawan di atas padang.


Nik Shahrul Azim yang berasal dari Rantau Panjang itu berkata, kepercayaan berada dalam kesebelasan utama ketika final Piala Malaysia menentang ATM tahun lalu memberi keyakinan kepadanya untuk mengekang jentera serangan skuad Harimau Selatan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Katanya, tiada perbezaan antara cabaran Piala Malaysia atau Piala FA kerana misi mencapai kemenangan menjadi keutamaan pasukan malah pengalaman bersama skuad kebangsaan juga memberi kelebihan kepadanya.


"Ini final Piala FA pertama bagi saya. Pengalaman beraksi di final Piala Malaysia tahun lalu memberi keyakinan kepada saya untuk memberi yang terbaik kepada pasukan Sabtu ini.


"Piala Malaysia dan Piala FA sama kerana kami perlu menang kedua -duanya. Saya banyak belajar daripada pemain lebih senior dan berharap dapat membantu Kelantan mempertahankan Piala FA," katanya.

Nik Shahrul berkata, berdepan pasukan kendalian Fandi Ahmad itu agak berat apabila terpaksa mengekang pergerakan dua bekas rakan sepasukan, Norshahrul Idlan Talaha dan Nurul Azwan Roya yang bakal mengancam gawang gergasi Pantai Timur itu.


"Sekiranya diberi peluang beraksi, saya akan beri perhatian lebih kepada mereka kerana dua pemain ini berbahaya kepada Kelantan."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/26

No comments: